Pengarah JPS Negeri Johor telah mengadakan sesi ramah mesra bersama Jurutera Daerah serta warga kerja JPS Daerah Mersing sebagai platform mempererat hubungan, menyampaikan amanat serta berkongsi aspirasi dalam memperkukuh penyampaian perkhidmatan jabatan. Dalam sesi tersebut, Pengarah turut berkenalan dengan seluruh pegawai dan kakitangan serta menzahirkan rasa bangga dapat berkhidmat di negeri kelahiran sendiri.
Dalam amanatnya, Pengarah menekankan tiga teras utama iaitu Integriti, Sinergi dan Responsif sebagai budaya kerja yang perlu diamalkan oleh seluruh warga JPS. Beliau mengingatkan agar setiap warga kerja sentiasa memelihara integriti dalam menjalankan tugas dan kehidupan seharian, menjauhi sebarang bentuk salah laku serta melaksanakan amanah dengan penuh tanggungjawab.
Selain itu, Pengarah turut menegaskan bahawa semangat sinergi dan kerjasama merupakan kunci kepada kejayaan organisasi. Perbezaan pandangan perlu diraikan secara profesional dengan saling memahami antara satu sama lain agar setiap tugasan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan. Beliau juga mengingatkan agar setiap warga kerja sentiasa responsif terhadap tugasan, memainkan peranan masing-masing serta berusaha mencapai sasaran dan petunjuk prestasi yang telah ditetapkan demi kemajuan jabatan.
Bagi anggota yang terlibat dengan operasi di lapangan, Pengarah memberi penekanan terhadap aspek keselamatan ketika bertugas, pematuhan kepada peraturan, pengurusan aset dan penyelenggaraan yang sistematik serta menggalakkan warga kerja mewujudkan suasana kerja yang positif dan menyeronokkan kerana ia mampu meningkatkan motivasi serta produktiviti organisasi.
Semoga sesi ramah mesra ini dapat mengeratkan silaturahim, memperkukuh semangat kebersamaan dan menjadi pemangkin kepada kecemerlangan JPS Negeri Johor dalam menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
#JPSJohor
#MalaysiaMADANI
#Integriti
#BerkhidmatUntukNegara



