Putrajaya International Convention Centre (PICC), Putrajaya – 29 Jun 2026
Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Johor sekali lagi melakar kejayaan apabila menerima Sijil Projek Berpotensi Tinggi sempena Majlis Pengiktirafan Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) 2026 yang berlangsung di Dewan Putra B, Putrajaya International Convention Centre (PICC).
Delegasi JPS Negeri Johor diketuai oleh Timbalan Pengarah yang Menanggung Kerja Pengarah JPS Negeri Johor, Encik Alifnur Iskandar bin Mohammad Sani, bersama Ir. Ts. Rubiatun Adawiah, Puan Rohaazila binti Selamat, Puan Norarifazilla binti Ahmad dan Puan Haniza binti Hasbullah yang mewakili dua projek Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) JPS Negeri Johor.
Pengiktirafan tersebut diberikan menerusi projek “Mempercepat Penilaian Risiko Banjir Lembangan Sungai daripada 100 Minit kepada 5 Minit”, yang berjaya meningkatkan kecekapan proses penilaian risiko banjir melalui pendekatan yang lebih pantas, tepat dan berkesan. Sijil pengiktirafan telah disampaikan oleh YBhg. Tan Sri Wan Ahmad Dahlan bin Haji Abdul Aziz, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) kepada Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pengurusan), Dato’ Haji Ismail bin Haji Abu.
Dalam majlis yang sama, Pejabat Setiausaha Kerajaan Johor (SUKJ) turut menerima Sijil Penghargaan Khas atas kejayaan menyiapkan 16 Projek Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB). JPS Negeri Johor telah menyumbang melalui dua projek RKB, iaitu:
Mempercepat Penilaian Risiko Banjir Lembangan Sungai daripada 100 Minit kepada 5 Minit; dan
Meningkatkan Kecekapan dan Mengurangkan Kesilapan Ulasan Teknikal daripada 14 Hari kepada 5 Hari.
Kejayaan ini mencerminkan komitmen berterusan JPS Negeri Johor dalam memperkukuh budaya inovasi, meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan serta menyokong agenda Reformasi Kerenah Birokrasi ke arah perkhidmatan awam yang lebih cekap, responsif dan berimpak tinggi.
Semoga pengiktirafan ini menjadi pemangkin kepada seluruh warga JPS Negeri Johor untuk terus memperkasa budaya kerja berprestasi tinggi, melaksanakan penambahbaikan secara berterusan serta menyampaikan perkhidmatan yang berkualiti demi kesejahteraan rakyat, kemajuan Negeri Johor dan negara.
Sekalung tahniah diucapkan kepada seluruh pasukan projek dan warga JPS Negeri Johor atas kejayaan yang membanggakan ini.
#JPSJohor
#majujohor
#jayakanperkhidmatansempurna
#Madanibekerja
#SahihTepatPantas





