LAWATAN KERJA YB TIMBALAN MENTERI PETRA KE JPS DAERAH PONTIAN

Pontian, Johor | 28 Jun 2026

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Johor telah menerima kunjungan hormat YB Timbalan Menteri Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) sempena Lawatan Kerja dan Majlis Ramah Mesra bersama agensi-agensi di bawah PETRA yang telah berlangsung di JPS Daerah Pontian.

Lawatan kerja ini bertujuan meninjau perkembangan pelaksanaan projek-projek di bawah seliaan JPS yang memberi fokus kepada usaha pengurangan risiko banjir, pengurusan saliran dan pemuliharaan sungai secara mampan. Program dimulakan dengan sesi taklimat mengenai status pelaksanaan projek oleh JPS Daerah Pontian serta perkongsian daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Indah Water Konsortium (IWK) berhubung inisiatif yang dilaksanakan di daerah Pontian.

Delegasi kemudiannya dibawa meninjau beberapa lokasi projek strategik, antaranya Projek Pemuliharaan Sungai bagi Mengurangkan Risiko Banjir, Projek Fenomena Air Pasang Besar (FAPB) serta Projek Jambatan MTB. Lawatan ini memberikan peluang kepada YB Timbalan Menteri PETRA untuk melihat sendiri kemajuan pelaksanaan projek serta mendapatkan penerangan berkaitan langkah-langkah yang dilaksanakan oleh JPS dalam memperkukuh sistem saliran dan meningkatkan tahap kesiapsiagaan terhadap risiko banjir.

Turut diadakan Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) hasil kerjasama strategik antara SPAN, TNB dan IWK sebagai manifestasi komitmen bersama dalam menyantuni masyarakat setempat serta menyokong agenda pembangunan mampan.

JPS Negeri Johor merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada YB Timbalan Menteri PETRA, semua agensi di bawah PETRA serta seluruh jawatankuasa pelaksana yang telah memberikan komitmen dan kerjasama sepanjang program berlangsung. Diharapkan lawatan ini akan terus memperkukuh sinergi antara agensi dalam memperkasakan pengurusan sumber air, sistem saliran dan infrastruktur tebatan banjir demi kesejahteraan rakyat serta pembangunan Negeri Johor.

“Berkhidmat Untuk Negara”

Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Johor

#JPSJohor
#majujohor
#jayakanperkhidmatansempurna
#Madanibekerja
#SahihTepatPantas

Scroll to Top